Wednesday, August 06, 2014

Aktiviti-Aktiviti Kelab

Tujuan utama Kelab Silat Seni Gayung Universiti Teknologi Malaysia (KSSGUTM) adalah untuk mengajar dan mempelajari Silat Seni Gayung. Tidak hairanlah bahawa aktiviti utama kelab ini adalah latihan silat. Kelab mengadakan latihan formal silat dua kali seminggu mengikut hari dan masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Kelab. Butiran latihan boleh rujuk di sini.

Selain itu, KSSGUTM juga ada menganjurkan program dan aktiviti lain selain latihan silat. Secara amnya, segala program dan aktiviti yang dianjurkan boleh terbahagi kepada dua, iaitu program mengikut kehendak universiti dan juga program mengikut kehendak pertubuhan. Berikut merupakan senarai program dan aktiviti anjuran KSSGUTM yang biasa dilaksanakan setiap tahun.

1) Induksi

Program ini bertujuan untuk melatih peserta dalam perkara-perkara kepimpinan dan pengurusan kelab. Dalam program ini, peserta diberi pendedahan tentang soal-soal kepimpinan, hal ehwal pengurusan kelab dan masalah-masalah terkini yang dihadapi oleh kelab. Selepas itu, para peserta digalakkan untuk memberi pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan kelab. Segala yang dibincangkan dan diputuskan di program ini akan dibawa ke Jawatankuasa Kelab untuk dibincangkan perlaksanaannya. Program ini selalunya dianjurkan sekitar bulan Februari atau Mac.

2) Sehening Seharum Budi (SENDI)

SENDI merupakan sebuah program makan malam untuk tujuan meraihkan senior-senior yang bakal menamatkan pengajian dan akan meninggalkan kelab serta universiti. Program makan malam ini juga bertujuan untuk mengumpulkan kembali alumni-alumni kelab dan merapatkan ukhuwah sesama ahli kelab dan juga alumni. Kebiasaannya program ini dilaksanakan dalam Semester Kedua Sesi universiti kerana itu merupakan semester terakhir bagi para senior yang bakal menamatkan pengajian di universiti.

4) Kursus Pemantapan Silibus

Tujuan kursus ini adalah sebagai latihan intensif dan latihan tambahan untuk ahli kelab yang bakal menghadapi Ujian Kenaikan Tali Pinggang. Di dalam kursus ini, peserta akan diberi taklimat tentang format dan tatacara Ujian Kenaikan Talipinggang, peringatan tentang kehendak dan tahap silibus serta peluang terakhir untuk peserta berlatih sebelum menghadapi ujian. Kebiasaannya kursus ini akan dilaksanakan seminggu sebelum ujian.

5) Ujian Kenaikan Tali Pinggang

Sesuai dengan kehendak pertubuhan, setiap ahli kelab yang berminat untuk mempelajari ke peringkat seterusnya diwajibkan untuk menjalani ujian tersebut terlebih dahulu. Setelah lulus ujian ini, peserta layak untuk menerima tali pinggang baru serta layak untuk menyambung pelajaran silat ke peringkat seterusnya. Mengikut kebiasaan, ujian ini akan dijalankan pada sekitar bulan April atau Mei.

6) Kursus Pengajaran dan Kejurulatihan

Kursus ini adalah adalah bertujuan untuk melatih peserta dalam hal ehwal kejurulatihan yang akan diketuai sendiri oleh Pemegang Amanah Negeri Johor. Dalam kursus ini, peserta akan diberi taklimat tentang Pertubuhan, sejarahnya, adat istiadat serta maklumat-maklumat lain yang difikirkan perlu oleh Pemegang Amanah untuk para pembantu jurulatih. Selepas itu peserta akan dilatih semula dalam segala silibus yang telah dipelajari untuk tujuan penyeragaman dan pemantapan. Peserta yang telah berjaya mengikuti kursus ini akan dibenarkan menjadi pembantu jurulatih untuk membantu mengajar di gelanggang PSSGM di bawah seliaan Pemegang Amanah berdasarkan budi bicara Pemegang Amanah. Penyertaan kursus ini adalah untuk yang bertalipinggang Pelangi Hijau dan ke atas sahaja.

7) Majlis Perlimau dan Penyerahan Tali Pinggang

Majlis ini merupakan perlaksanaan dua adat dalam satu program. Adat yang pertama adalah adat Perlimau. Tujuan Perlimau ini adalah untuk meraihkan ahli-ahli baru PSSGM yang bakal mempelajari Silat Seni Gayung. Adat yang kedua pula adalah penyerahan tali pinggang. Peserta yang telah berjaya untuk naik peringkat tali pinggang akan diraihkan dan diberi pengiktirafan dengan penyampaian tali pinggang baru kepada mereka oleh Pemegang Amanah Negeri Johor. Majlis ini kebiasaannya akan dilaksanakan pada hujung Semester Kedua Sesi universiti.

8) Pengambilan Ahli Baharu

Program ini adalah bertujuan untuk menarik ahli baru untuk menyertai kelab. Kebiasaannya program ini akan dilaksanakan pada awal Semester Pertama Sesi universiti, iaitu pada masa yang sama kemasukan mahasiswa baru ke UTM.

9) Rapat Satria

Program ini merupakan sebuah program ukhuwah yang melibatkan perkhemahan dan pelbagai aktiviti outdoor yang menarik. Tujuan program ini adalah untuk merapatkan ukhuwah sesama ahli kelab disamping untuk memperkenalkan kepada ahli baru tentang Silat Seni Gayung serta nilai tambah yang lain untuk pesertanya. Mengikut kebiasaannya, program ini diadakan pada Semester Pertama Sesi universiti.

10) Mesyuarat Agung Tahunan

Sesuai dengan kehendak universiti, sebagai sebuah persatuan mahasiswa, adalah dikehendaki untuk mengadakan sebuah mesyuarat agung setiap tahun untuk tujuan laporan tentang perlaksanaan aktiviti kelab sepanjang tahun, perbelanjaan dan status kewangan kelab, hala tuju kelab, masalah-masalah berbangkit, serta perlepasan jawatan oleh ahli jawatankuasa kelab sedia ada dan perlantikan ahli jawatankuasa baru. Mengikut kebiasaan, Mesyuarat Agung Tahunan akan dilaksanakan pada pertengahan Semester Pertama Sesi universiti sebelum Kursus Kepimpinan Persatuan Pelajar anjuran Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA). Penyertaan mesyuarat ini adalah diwajibkan ke atas semua ahli kelab.

Tujuan penganjuran program dan aktiviti di atas adalah sebagai nilai tambah kepada ahli kelab selain memenuhi kehendak universiti serta pertubuhan. Ahli kelab berpeluang untuk memperolehi manfaat lain selain daripada ilmu persilatan sahaja seperti pembinaan ukhuwah sesama ahli serta network building, memperolehi pengalaman dalam pengurusan aktiviti dan kelab serta kepimpinan. Penglibatan sukarelawan dalam penganjuran aktiviti dan program di atas amatlah dialu-alukan. Jika anda berminat, bolehlah hubungi mana-mana ahli jawatankuasa kelab.