Tuesday, August 05, 2014

Pengenalan

Silat Seni

Seni Silat adalah seni mempertahankan diri dari sebarang serangan, baik serangan bersenjata mahupun tanpa senjata. Seni Silat adalah seni mempertahankan diri bangsa Melayu. Kamus Dewan Bahasa mentafsirkan perkataan "Seni" sebagai karya indah yang dicipta dan "Silat" adalah permainan menangks serangan dan bela diri sama ada bersenjata ataupun tanpa senjata.

Mereka yag mahir dalam silat dipanggil Pendekar yang bermakna "pandai akal" yang menunjukkan seseorang pendekar itu mempunyai kekuatan akal yang lebih penting daripada jasmani dalam menumpaskan musuhnya. Seni Silat dianggap sebagai ilmu mempertahankan diri yang dapat membentuk peribadi, keyakinan, kesanggupan dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam menghadapi sebarang cabaran dan muslihat musuh. Pada zaman dahulu, Seni Silat merupakan unsur terpenting dalam mengukur taraf keperiwaraan seseorang.

Asal Usul Silat Seni Gayung

Silat Seni Gayung dikatakan mula memasuki Tanah Melayu pada tahun 1813. Silat ini dibawa oleh Daeng Kuning atau lebih dikenali sebagai Panglima Hitam daripada keturunan Bugis. Beliau tiba di Kuala Larut, Perak sebelum pemerintahan Sultan Abdullah dan memilih Relor Tujuh di Taiping sebagai tempat tinggalnya. Tempat pendaratan Panglima Hitam adalah Pengkalan Aur yang kini diberi nama Air Kuning. Panglima Hitam telah mangkat di Taiping pada tahun 1875. Ilmu persilatannya telah diwarisi oleh cucunya Dato' Meor Abdul Rahman yang kemudiannya menjadi Mahaguru Silat Seni Gayung Malaysia.

Dari sudut sejarah, ilmu kependekaran Gayung telah diwarisi oleh keturunannya, tujuh pahlawan terbilang lagi masyhur di Kepulauan Tanah Melayu. Mereka adalah anak raja Bugis 7 bersaudara iaitu Daeng Celak, Daeng Merewah, Daeng Telani, Daeng Perani, Daeng Kemasi, Daeng Jalak dan Daeng Kuning.

Kisah penghijrahan 7 bersaudara ini ada diceritakan dalam buku-buku sejarah Melayu. Mereka dikatakan keluar dari Sulawesi setelah tentera Belanda menguasai sebahagian daripada tanah air mereka. Antara matlamat utama pelayaran ini adalah untuk mengumpul kembali pahlawan-pahlawan Melayu yang berpecah setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka bagi menentang penjajah. Melalui strategi ini, ilmu pusaka Gayung telah diperturunkan daripada satu pahlawan ke satu pahlawan. Antaraya ialah Dato' Bahaman, Tok Janai (Syed Zainal), Dato' Mat Kilau, Tok Janggut, Dato' Dol Said dan Datuk Kelana.

Usaha yang dirintis oleh 7 anak raja bersaudara itu diteruskan oleh pahlawan-pahlawan di atas pada akhir tahun 1930-an dan disertai oleh Daeng Uda Mohd Hisham bersama-sama anaknya Meor Abdul Aziz dan Meor Abdul Rahman. Mereka mewarisi Silat Seni Gayung secara turun-temurun. Pergerakan tiga beranak ini adalah untuk mengembangkan ilmu warisan datuk nenek moyang mereka ke dalam kehidupan masyarakat Melayu Islam secara lebih luas.