Tuesday, August 05, 2014

Sistem Pelajaran

Sejarah Pelajaran

Pada asalnya, Dato' Meor Abdul Rahman mewarisi ilmu persilatan daripada keturunannya. Ketika beliau menuntut ilmu persilatan ini daripada datuk beliau sebelah bondanya, iaitu Syed Idris Al-Attas, pelajaran diperturunkan adalah terhad dan dalam bahagian tertentu sahaja. Antara pelajaran yang diwarisi adalah Seni Belian, Seni Sundang Lipas dan Seni Cindai. Seni Cindai adalah permainan silat Puteri Melewar, puteri raja bugis. Ilmu persilatan yang diwarisi Dato' Meor Abdul Rahman sebenarnya adalah Silat Seni Sendi Harimau. Nama Silat Seni Gayung merupakan nama yang diasaskan oleh Dato' Meor Abdul Rahman sendiri.

Sistem Pelajaran Silat Seni Gayung

Pelajaran dalam Silat Seni Gayung pada asalnya mempunyai tujuh buah tangkapan sahaja untuk setiap peringkat. Daripada tujuh buah tangkapan ini kemudiannya dipecah-pecahkan hingga menjadi 49 pecahan untuk setiap peringkat, baik daripada peringkat tangkapan tangan kosong hinggalah ke peringkat Seni Gayung (permainan yang menggunakan senjata tradisi Melayu). Secara umumnya pelajaran dalam Silat Seni Gayung dibahagikan kepada tujuh peringkat iaitu Tapak Gayung, Seni Tapak Gayung, Seni Keris, Seni Simbat, Seni Yoi, Seni Belian dan Seni Cindai.
  • Tapak Gayung
Merupakan segala pelajaran asas gerak tangan dan kaki termasuk juga latihan senaman anak harimau dan tangkapan kunci mati.
  • Seni Tapak Gayung
Merupakan lanjutan daripada pelajaran Tapak Gayung. Pada peringkat ini pesilat diajar memperhalusi lagi pelajaran bahagian Tapak Gayung supaya pesilat berkemampuan untuk membuat serangan balas yang berkesan. Pelajaran pada peringkat ini termasuklah Buah Tapak Kunci Hidup, pecahan Buah Tapak dan Serangan Anak Harimau.
  • Seni Keris
Merupakan pelajaran menggunakan senjata tikam seperti keris dan pisau. Mengandungi Seni Keris dan Seni Pisau
  • Seni Simbat
Merupakan pelajaran yang menggunakan senjata belantan dan adalah asas kepada permainan parang panjang, kapak, tekpi, pedang, sundang lipas, dan lembing. Pelajarannya merangkumi Seni Simbat/Tongkat, Seni Simbat Suk/Cota, Seni Tongkat Panjang/Tembung, Seni Tombak/Lembing, Seni Anak Tombak, Seni Parang-Tekpi dan Seni Tombak-Tekpi.
  • Seni Tapak Yoi
Merupakan pelajaran tangan kosong yang dipenuhi dengan buah pukulan serta lompatan bagi menentang serangan ramai.
  • Seni Belian
Merupakan permainan tapak harimau yang juga dikenali sebagai Serangan Bapak Harimau.
  • Seni Cindai
Merupakan pelajaran yang menggunakan kain sarung dan merupakan pelajaran tertua dalam Silat Seni Gayung. Seni Cindai terbahagi kepada dua jenis permainan iaitu Cindai Jantan (pukul-memukul) dan Cindai Betina (jerut-menjerut). Tujuh pecahan terdapat dalam permainan cindai adalah Sauk-Sauk, Tebar, Serkap, Kain Tudung, Awang Bodoh, Pukat dan Kalung Puteri.

Seni-Seni Lain

Selain daripada pelajaran yang tersenarai di atas, terdapat juga pelajaran lain seperti Seni Gerak Bayang, Gada-Gada (rantai sepanjang 20 hasta dengan disambung besi pemberat di hujung), Seni Seligi, Seni Selayang Pandang, Seni Serangan Rajawali, Seni Sundang Lipas, Mayang Gesit (senjata baling yang disorok bersama cucuk sanggu), Serbuk Beracun dan senjata api (jarak dekat) untuk menghadapi musuh bersentajakan pistol dan senapang.